

SABK Maahad Al-Ummah, Chemor, Perak Darul Ridzuan
Maahad Al-Ummah diilhamkan dan dicetuskan melalui kekuatan usrah, dakwah dan tarbiah para aktivis Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) Cawangan Negeri Perak dengan dokongan Biro Pendidikan ABIM Pusat. Ia didaftarkan di bawah JAP/SUR/1/91 melalui surat yang bertarikh 10 Januari 1991 sebagai Sekolah Menengah Agama Rakyat.
Maahad Al-Ummah memulakan operasinya pada tanggal 18 Disember 1989 dengan mengambil pelajar sulung seramai 38 orang. Bangunan operasinya terletak di 12-unit rumah kedai dua tingkat di Persiaran 1, Taman Mas, 31200 Chepor melalui sewaan bulanan sebanyak RM3600 sebulan.
Pelajar-pelajarnya terdiri daripada anak-anak tempatan dan luar negeri Perak seperti Selangor, Kuala Lumpur dan sebagainya. Rata-rata mereka adalah anak-anak kepada ahli-ahli usrah ABIM seluruh Malaysia dan ibu bapa yang prihatin untuk pendidikan Islam secara menyeluruh dan bersepadu. Sesi pembelajaran yang diketengahkan ialah pendidikan bersepadu Kurikulum KBSM, mata pelajaran agama, akhlak dan kepimpinan serta mata pelajaran Thanawi bermula pada tahun 1994/1995 dengan sukatan yang telah ditetapkan oleh Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Perak. Pengajian yang turut diketengahkan ialah pendidikan Tahfizul Quran, komputer, dan kokurikulum.
Bermula tahun 1992, pencapaian akademik amat menggalakkan apabila seorang murid memperoleh 9A dalam Peperiksaan Sijil Rendah Pelajaran (SRP) dan dua orang pelajar memperolehi 8A dalam Peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM). Pada tahun 1994 Maahad Al-Ummah semakin berkembang dan pelajarnya semakin bertambah. Pihak pengurusan Maahad Al-Ummah telah mendirikan bangunan yang disewa daripada Institut Sofar bagi menempatkan bilik-bilik kelas, asrama lelaki, musolla, dan dewan makan.
Pada tahun 1992 pihak pengurusan telah berjaya memperoleh tanah seluas 9.8 ekar di Lot 52984 Mukim Ulu Kinta sebagai wakaf khas untuk mendirikan bangunan sekolah Maahad Al-Ummah. Pada bulan Disember 1994, dua buah bangunan 2 tingkat yang menempatkan 16 buah kelas siap dibina dan dapat digunakan oleh para pelajar. Blok ketiga yang dibina ialah asrama untuk menempatkan 200 orang pelajar perempuan yang telah siap pada bulan Julai 1995. Pada ketika ini, bangunan rumah kedai telah diserahkan semula kepada pemiliknya dan para pelajarnya dapat menggunakan keseluruhan bangunan yang telah siap dibina.
Fasa demi fasa pembangunan Maahad Al-Ummah terus bertambah dengan bangunan-bangunan yang baru dan akhirnya telah menempatkan keseluruhan pelajar dengan pelbagai kemudahan yang disediakan.